Tidak kurang lima kes histeria membabitkan ratusan pelajar yang dilaporkan berlaku hampir serentak di beberapa sekolah berasrama di Pahang, Selangor, Perak dan Sarawak sepanjang bulan lalu hingga kelmarin mencetuskan persoalan di kalangan masyarakat — apa sebenarnya berlaku?
Sekolah Menengah Sains Selangor adalah salah sebuah sekolah tersebut dan cerita tentangnya boleh dibaca di Pengalaman Semasa SMSS Diganggu.
Dua pakar dalam dua bidang berlainan yang ditemui Metro Ahad memberi jawapan berbeza terhadap persoalan itu berdasarkan kepakaran masing-masing.
“Histeria berlaku kerana makhluk halus atau jin marah atau berdendam terhadap manusia selepas ia diganggu. Jin memang boleh meresapi manusia dan ada hadis menyokong kenyataan ini,” kata bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga pengkaji kebudayaan Islam, Datuk Dr Amran Kasimin.
Ketua Jabatan Perubatan Psikologi Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Mohamad Hussain Habil, pula berkata masalah histeria berkait rapat dengan kepercayaan seseorang terhadap perkara mistik dan karut marut, namun ia sebenarnya disebabkan masalah psikologi serta tekanan perasaan.
“Kepercayaan karut mempengaruhi jiwa seseorang sehingga mereka mengalami histeria. Namun apabila diselidik, kebanyakan kes disebabkan tekanan psikologi, sama ada membabitkan masalah kewangan, rumah tangga, sosial atau kerja,” katanya.
Ikuti ulasan lanjut mereka berhubung fenomena ini yang kini mencemaskan masyarakat, terutama ibu bapa pelajar yang menjadi mangsa, kerana proses pembelajaran anak mereka terjejas berikutan sekolah terbabit terpaksa ditutup sementara waktu untuk menenangkan keadaan.
DATUK DR AMRAN KASIMIN
Soalan (S): Bagaimana histeria berlaku dan mengapa?
Jawapan (J): Histeria boleh berlaku atas dua faktor iaitu disebabkan tekanan dan gangguan. Apabila tertekan sama ada di sekolah, tempat kerja, cinta atau pergaduhan, diri hilang pertimbangan dan kerana itu makhluk halus atau jin mudah menguasai diri.
Manakala gangguan pula membabitkan kes seperti salah menuntut ilmu persilatan, tarian tradisional, menurun atau orang biasa. Ini gangguan syaitan dan iblis kerana mereka pernah berjanji untuk menyesatkan manusia walau apa cara sekalipun.
S: Kebelakangan ini banyak kes histeria berlaku di sekolah, apa puncanya?
J: Satu sebab jin mengganggu manusia ialah kerana marah atau berdendam selepas ‘kediamannya’ dirampas manusia, contohnya kawasan itu dijadikan sekolah atau bangunan. Sebab itu sekolah baru buka kerap berlaku histeria.
Selain itu, mungkin ada pelajar ‘mengganggu’ tempat jin itu seperti membuang air kecil di tempat tidur atau tempat tinggalnya. Ia mungkin dilakukan di kawasan hutan berhampiran sekolah atau belukar yang menjadi kediaman jin. Itu juga boleh menyebabkan kemarahan jin.
Boleh jadi juga sebab mereka (jin) diganggu bunyi bising disebabkan ‘kenakalan’ pelajar terbabit sehingga menimbulkan kemarahan. Jika lama terpendam, ia bertukar menjadi dendam dan tiba masanya, jin itu ‘menyerang’ (berlakunya histeria).
Namun histeria sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa saja dan tidak kira di mana. Jika jin diganggu, mereka membalas semula. Kes yang banyak berlaku di sekolah sekarang mungkin hanya kebetulan.
S: Bagaimana jin memasuki tubuh manusia dan ke mana tujunya?
J: Jin boleh masuk ke tubuh melalui pelbagai cara, sama ada hidung, mulut, telinga, ibu jari kaki dan tangan. Ia makhluk halus, tidak berjasad dan mudah berbuat demikian.
Selepas masuk, ia terus menyerang dan mengawal otak manusia, sekali gus menyebabkan perilaku tidak normal, mengubah personaliti seseorang mengikut jenis jin yang memasuki tubuhnya.
Ada yang dirasuk boleh bercakap dalam bahasa Thailand atau Indonesia kerana ia pelbagai jenis dan bangsa, sama seperti manusia.
Misalnya, jika jin tua masuk ke badan, mangsa berkelakuan seperti orang tua, bongkok. Perlu diingat, jin ini tidak mati sehingga hari kiamat.
S: Mengikut fahaman Datuk, bagaimana serangan jin boleh menyebabkan histeria ini?
J: Jin menyerang manusia dalam keadaan tak sedar dan sukar dikawal. Serangan memang dahsyat kerana dia memperalatkan tubuh manusia. Ada berlaku, pelajar menggigit jari sampai berdarah kemudian menghirup darah sendiri. Sebenarnya yang menghirup darah itu jin, bukan pelajar. Jin cuma mempergunakan tubuh pelajar tadi.
Ada juga mangsa yang boleh berkelakuan luar biasa seperti menumbuk dengan kuat, sedangkan yang dirasuk jin itu adalah wanita.
S: Mengapa apabila berlaku serangan histeria, ia mudah berjangkit kepada orang lain?
J: Memang jin boleh berjangkit selepas menyerang manusia. Ia pantas, malah boleh diibaratkan sama seperti cahaya. Dalam sekelip mata, ia boleh menyerang ramai orang.
S: Bolehkah histeria mendatangkan kemudaratan atau bahaya kepada mangsa, terutama pelajar?
J: Ya... kerana histeria ini menyerang otak dan fikiran manusia. Ia sama dengan simptom dialami orang gila iaitu hilang ingatan.
Bezanya, histeria akan pulih jika jin dapat dikeluarkan dari tubuh badan. Tidak seperti penyakit gila yang mungkin berlanjutan jika kerosakan sel otak yang dialami pesakit tidak dapat dirawat.
Namun jika histeria itu kerap menyerang seseorang, ia membahayakan diri mangsa, fikiran mungkin ‘dirosakkan’ makhluk berkenaan sehingga menyebabkan gila.
S: Apakah tanda seseorang itu diserang histeria?
J: Tangan menggeletar dan sejuk. Dia juga seperti dalam fantasi, mungkin terdengar bunyi air, desiran angin atau loceng yang sayup kedengaran.
Ia boleh dirasai. Selepas jin ada pada tubuh, mangsanya melihat dunia ini gelap, kepalanya bergoyang dan tubuh menggeletar.
S: Adakah benar mangsa yang dirasuk boleh melihat makhluk halus?
J: Ya... tetapi ia berlaku sekali imbas saja dan ia tampil dalam pelbagai rupa dan bentuk menakutkan. Ada juga yang menyerupai objek seperti ular. Jika ada pengakuan menyatakan ia melihat makhluk aneh, ia bukan ilusi tapi memang benar kerana Allah SWT membuka sedikit ruang untuk melihatnya.
S: Mengapa wanita sering jadi sasaran atau mangsa histeria?
J: Wanita lebih sensitif dan dianggap lemah berbanding lelaki. Apatah lagi dalam keadaan tertentu, wanita memang lemah seperti ketika haid, mengandung atau berpantang. Begitupun lelaki juga tidak terkecuali, ada yang kena jika tidak kuat semangat.
S: Bagaimana cara atau kaedah untuk mengelak menjadi mangsa?
J: Berpegang teguh dengan ajaran Allah SWT adalah langkah terbaik. Jin sebenarnya boleh mengetahui kekuatan roh seseorang, sama ada memiliki cahaya (iman) atau tidak. Jika kuat dengan amal ibadat, dia tidak suka mendekati.
Namun antara amalan yang boleh dilakukan ialah baca ayat Kursi selain doa. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Barang siapa membaca ayat Kursi ketika di tempat pembaringan (tidur), Allah SWT menghantar dua malaikat untuk menjaganya hingga waktu subuh.”
S: Adakah wajar kita membuat perjanjian dengan jin untuk menghindarkan gangguan histeria ini sehingga perlu mematuhi syarat tertentu?
J: Itu tidak boleh. Jika letak syarat, ia menampakkan kita lemah, malah syirik. Memang ada ‘tawar-menawar’, tetapi jangan letak syarat. Dalam satu kes, jin pernah minta tempoh seminggu untuk berpindah dari situ tempat dan tidak salah membenarkan. Barangkali mungkin jin itu hendak berkemas sebelum beredar tetapi selepas seminggu, pastikan mereka tiada.
Dalam tempoh itu jin tidak mengganggu lagi, jika adapun sekadar gangguan kecil seperti terdengar orang mandi, suara ganjil atau kelibat seseorang.
S: Benarkah makhluk halus ini boleh dipindahkan beramai-ramai menggunakan kenderaan?
J: Jin boleh diibaratkan pergerakannya sama seperti cahaya, pantas dan laju. Jika kita menggunakan kenderaan untuk memindahkan mereka ke tempat lain yang mengambil masa beberapa jam perjalanan, selepas tiba, mereka kembali semula ke tempat asal hanya dalam beberapa minit atau saat saja, jadi bagaimana? Bagi saya, ini tidak logik dan menyukarkan.
S: Ada pihak ‘memagar’ tempat tertentu seperti sekolah atau bangunan untuk menghalau gangguan makhluk halus, apa pandangan Datuk?
J: Pada saya tidak salah, namun wujud kebimbangan. Malah ada yang memagar dengan bantuan jin juga dan ini bahaya, tidak mustahil jin ini boleh mengganggu tempat itu. Sebaik-baiknya kembali kepada ajaran Islam, gunakan ayat al-Quran.
S: Bagaimana pula kes mereka yang diserang histeria dan selepas dirawat, diserang kembali?
J: Apabila seseorang itu diserang histeria, ‘laluannya’ sudah ada. Sebagai contoh, apabila masuk ke hutan, kita membuat lorong dan jika hendak masuk kali kedua, kita guna lorong sama. Begitu juga dengan jin, namun lorong itu perlu ditutup dengan cara memperbanyakkan amalan.
S: Apakah jenis-jenis jin?
J: Seperti manusia, jin ada pelbagai jenis dan taraf. Ada jantan dan betina; Islam atau kafir. Makanannya nasi, darah, malah ada yang tidak makan. Ada juga terbang di udara dan melata di bumi. Tempat kotor seperti kawasan penyembelihan paling disukai. Makhluk ini tidak mati sehingga hari kiamat dan mereka sudah berjanji untuk menyesatkan manusia walau dengan apa cara sekalipun.
PROFESOR DR MOHAMAD HUSSAIN HABIL
Histeria adalah masalah biasa dalam proses pembangunan sesebuah negara, terutama apabila berlaku perpindahan penduduk dari luar bandar ke bandar besar.
Ketua Jabatan Perubatan Psikologi Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Dr Mohamad Hussain Habil, berkata perkara ini berlaku di semua negara di seluruh dunia, termasuk di Barat.
Menurutnya, masalah histeria berkait rapat dengan kepercayaan seseorang individu terhadap perkara mistik dan karut marut. Walaupun faktor kejutan budaya turut memainkan peranan, kebanyakan kes histeria disebabkan masalah psikologi dan tekanan perasaan.
“Kepercayaan karut mempengaruhi jiwa seseorang sehingga mereka mengalami histeria. Namun apabila diselidik, kebanyakan kes disebabkan tekanan psikologi sama ada membabitkan masalah kewangan, rumah tangga, sosial atau kerja.
“Dulu saya selalu menerima pesakit histeria dari kalangan pekerja kilang dalam kuantiti ramai, terutama ketika Lembah Klang baru mula membangun. Kini kes histeria boleh dikatakan hilang sama sekali sehinggalah kes yang berlaku baru-baru ini membabitkan pelajar sekolah.
“Masalahnya ialah masih ramai percaya histeria disebabkan gangguan makhluk halus seperti jin atau penunggu sehingga pesakit lambat dibawa mendapatkan rawatan.
“Jika dibiarkan, lebih ramai akan mengalami gangguan ini kerana jeritan atau gejala histeria boleh mempengaruhi orang lain terutama bagi yang lemah semangat,” katanya.
Dr Hussain berkata, gejala histeria di kalangan pelajar sekolah berlaku kerana wujudnya unsur perpindahan dari kampung ke bandar dan setiap orang pasti ada kepercayaan terhadap perkara mistik tersendiri, walaupun punca sebenarnya mungkin disebabkan tekanan perasaan akibat masalah keluarga, teman lelaki atau terlalu bimbang untuk menghadapi peperiksaan.
“Usah bawa pelajar yang terkena histeria berjumpa bomoh kerana ia gangguan psikologi. Lebih cepat pelajar diberi rawatan, lebih mudah masalah histeria dikawal dan ia dapat mengelaknya mempengaruhi pelajar lain,” katanya.
Cara rawatan histeria juga mudah. Langkah pertama ialah mengasingkan individu yang mula-mula mengalami histeria dan pengasingan ini boleh dilakukan dengan memberi cuti atau dibawa segera ke hospital untuk diberi rawatan di klinik psikiatri. Biasanya pelopor kes histeria berkenaan dimasukkan ke wad dan dirawat hingga pulih.
Dr Hussain berkata, cara lain yang boleh dilakukan ialah berpindah sekolah atau menghantar pelajar berkenaan balik ke sekolah di kampungnya di mana dia berasa lebih selesa, tenteram dan selamat.
Jika histeria berlaku di kalangan guru, langkah penting yang perlu diambil selain memberi rawatan ialah memindahkannya ke sekolah lain.
Sunday, October 10, 2010
Histeria
Posted by ana muqhlis at 9:08 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment